Monday, 21 July 2014

Konsep Menuntut Ilmu (Bahagian Satu)

 Pendahuluan
 Menurut ajaran Islam, menuntut ilmu adalah satu dari ibadah yang terpuji yang membawa seseorang ke Syurga. Bagaimanapun, matlamat di sebalik menuntut ilmu itu lebih penting dari ilmu itu sendiri. Ketulusan menuntut ilmu dengan matlamat ketuhanan, untuk keredhaan Allah dan berbakti kepada makhlukNya.

 Maka dari itu, pemahaman bagi konsep menuntut ilmu merupakan perkara yang penting kerana ia merupakan aset yang sangat berguna dalam kehidupan. Kemuliaan seseorang terletak pada ketinggian ilmunya. Malah Allah s.w.t. mengangkat darjat bagi siapa yang menuntut ilmu sebagaimana firmanNya:

Terjemahannya:
“Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang- orang yang diberi ilmu pengetahuan”
                                                          Al-Mujaadilah (58): 11
Oleh yang demikian, di dalam bab dua ini, penulis akan menghuraikan definisi konsep menuntut ilmu serta cabangnya agar dapat memahami konsep ini dengan lebih jelas. Penulis juga akan menerangkan dengan lebih lanjut dan mendalam lagi tentang kedudukan dan fungsi memahami konsep menuntut ilmu.

2.2 Definisi Ilmu Pengetahuan

Ilmu secara bahasa adalah lawan dari perkataan bodoh. Seseorang yang berilmu dikatakan ‘aalim atau ‘aliim; suatu kaum disebut ulama’.[1] Ia berasal dari Bahasa Arab yang bererti mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui sesuatu perkara dengan sebenar. Dalam Bahasa Inggeris ilmu selalunya disebut sebagai ‘Sciences’.[2] Ilmu dan pengetahuan (knowledge) sebenarnya mempunyai makna yang sama walaupun dari segi penggunaannya kadang-kadang berbeza.

Ilmu juga merujuk kepada kefahaman manusia terhadap sesuatu perkara, yang mana ia merupakan kefahaman yang sistematik dan diusahakan secara sedar. Pada umumnya, ilmu mempunyai potensi untuk dimanfaatkan demi kebaikan manusia. Biasanya, ilmu adalah hasil daripada kajian terhadap sesuatu perkara. Dalam hal ini, ilmu sendiri juga boleh menjadi sasaran kajian dan menghasilkan apa yang dikenali sebagai "ilmu mengenai ilmu", yakni epistemologi.[3]

Ilmu dari segi Istilah: Segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada Rasul-rasulNya dan alam ciptaanNya termasuk manusia yang memiliki aspek lahiriah dan batiniah.

Dalam zaman moden ini, pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk pada objek penelaahan ilmu mencakupi seluruh aspek kehidupan yang dapat diuji oleh pancaindera manusia dan bersifat empiris.[4] Kewujudan perkara lain di luar keupayaan pancaindera tersebut dianggap bukan fakta dan tidak termasuk dalam bidang ilmu. Mengikut pandangan mereka secara automatik ajaran agama terkeluar daripada ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan semata-mata.

Adapun Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu Al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.


2.2.1 Konsep Ilmu
Dalam Ihyâ ‘Ulûm ad-Dĩn, Imam Al Ghazali mengungkapkan tentang konsep ilmu. Menurutnya, ilmu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:
1.                  Ilmu-ilmu yang berkaitan dengan aqidah dan ibadah wajib. Setiap orang wajib mendalami ilmu-ilmu tersebut yakni fardhu ‘ain.
2.               Imu-ilmu yang berkaitan dengan umum, misalnya: ilmu kedoktoran, ilmu sosiologi, ilmu komputer, dan lain-lain. Tidak semua orang wajib mempelajari ilmu-ilmu tersebut dan hanya beberapa orang saja sudah memadai. Ia juga disebut sebagai fardhu Kifayah.


2.2.2 Tujuan Ilmu Pengetahuan
Tujuan ilmu pengetahuan terbahagi kepada dua, iaitu ilmu pengetahuan murni (pure Science) dan ilmu pengetahuan terapan (applied science). Tujuan ilmu pengetahuan terapan adalah pengawalan, perencanaan dan perkembangan teknologi untuk meningkatkan kualiti hidup manusia.

Sementara itu, tujuan ilmu pengetahuan murni (pure science), dapat dilihat daripada dua sudut iaitu secara psikologi dan kepuasan. Secara psikologi, tujuan ilmu pengetahuan murni adalah mencari kebenaran dan kepuasaan akal untuk menjangka sesuatu kejadian. Manakala secara kepuasan pula, ia merupakan kepuasaan artistik seperti menyelesaikan sesuatu masalah pelik di dalam sesuatu teori yang sangat besar dan mendalam.[5] 


2.2.3 Keutamaan Ilmu pengetahuan          
Sejarah telah membuktikan bahawa kemajuan sesuatu bangsa adalah berkait-rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa. Ini kerana ilmu akan mengangkat darjat seseorang atau sesuatu bangsa itu ke arah kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Di antara kepentingan-kepentingan ilmu yang dapat dijelaskan di sini adalah:

            2.2.3.1 Ilmu Adalah Warisan Para Nabi
Adapun para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambil ilmu tersebut maka sungguh ia telah mengambil bahagian yang banyak dari warisan para Nabi. Hal tersebut termasuk keutamaan yang paling besar.[6]

            2.2.3.2 Ilmu Membentuk Peribadi yang Mulia
Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. Firman Allah dalam al-Quran:
                       
            Terjemahannya:
"Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu, Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”.                                  
                                                                     Faathir (35): 28.

            2.2.3.3 Ilmu Sifatnya Kekal
Ilmu tidak seperti harta yang akan musnah. Dalam sebuah hadis s.a.w. bersabda, "Jika seseorang meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara yaitu: sadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak salih yang mendo'akannya."[7]

            2.2.3.4 Mengangkat Darjat Seseorang
Ilmu dapat mengangkat seseorang lebih tinggi disisi Allah s.w.t. dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah:
Terjemahannya:
“Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana".                                                                                                                                                                                      Al-Zumar (39): 9

            2.2.3.5 Melaksanakan Ibadah
Dengan ilmu manusia dapat menjalankan tugas ibadah (ibadah umum atau ibadah khusus) dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi.[8]

2.2.4 Klasifikasi Ilmu
Ilmu telah diklasifikasikan kepada tiga bahagian iaitu berdasarkan topik, hukum dan juga hubungkait ilmu dengan syariat dan bukan syariat.

2.2.4.1 Berdasarkan Topik

Al-Kindi merupakan filsuf Muslim pertama yang menyajikan klasifikasi ilmu berdasarkan topik, yang kemudian diikuti oleh al-Farabi dalam bukunya Ihsa al-Ulum (daftar ilmu-ilmu). Dalam buku Science and Civilization in Islam, Dr Syed Hossein Nasr meringkaskan klasifikasi al-Farabi tersebut sebagai berikut:

1.      Ilmu bahasa
2.      Ilmu logik
3.      Ilmu-ilmu pendahuluan
4.       Ilmu fisik (ilmu alam)
5.      Metafisik (ilmu wujud)

Sesudah al-Farabi, Ibn Sina di dalam bukunya The Book of Healing and Treatise menyajikan suatu klasifikasi ilmu intelektual kemudian Fakhr Al-Din al-Razi  dalam The Book Of Sixty Sciences dan banyak lagi pemikir lainnya mengemukakan klasifikasi-klasifikasi ilmu, tapi mereka boleh diketepikan kerana tidak banyak berbeza dengan al -Farabi. Klasifikasi mengenai ilmu-ilmu yang di pelajari di dunia Islam telah di ringkaskan oleh Dr Syed Hossien Nasr sebagai berikut:

1.      Ilmu-ilmu falsafah dan intelektual.
2.      Ilmu-ilmu yang diturunkan (dapat dipelajari melalui penyampaian, dalam hal ilmu-ilmu agama. Rantai penyampaiannya dimulai dari asal mula wahyu).

Dalam persidangan sedunia II mengenai pendidikan Islam, yang dibiayai oleh King Abdul Aziz University, Jeddah dan Quaid I Azam University, Islamabad dan dilangsungkan di Islamabad pada bulan Mac 1980  telah disetujui klasifikasi ilmu sebagai berikut:

1.      Pengetahuan tentang yang kekal abadi; Al-Quran, Sunnah Nabi, riwayat hidup Nabi dan sebagainya.
2.      Pengetahuan perolehan;
a)      Seni imaginasi
b)      Ilmu-ilmu intelektual; ilmu-ilmu sosial, filsafat dan lainnya.
c)      Ilmu-ilmu fisik
d)     Ilmu-ilmu terapan
e)      Ilmu-ilmu praktikal[9]

2.2.4.2 Berdasarkan Hukum

Bagi para ulama dahulu, ilmu pengetahuan dan agama bukanlah dua hal yang berbeza. Oleh kerana itu, usaha al-Imam Ghazali dalam mengklasifikasi ilmu perlu diperhatikan secara lebih terperinci. Dalam kitab Ihyâ ‘Ulûm ad-Dĩn, beliau mengklafikasikan ilmu menjadi dua bahagian: Fardhu ‘Ain dan dan Fardhu Kifayah.[10]

i)        Ilmu Fardhu ‘Ain: iaitu kewajipan yang dituntut ke atas setiap umat Islam yang baligh dan berakal supaya mengetahui dan mempelajarinya bagi memenuhi tuntutan agama. Contoh: Ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ibadah wajib atau kepercayaan (Aqidah). Ilmu Fardhu Ain ialah ilmu yang berkaitan dengan perkara yang berupa kepercayaan dan perbuatan yang mesti dilakukan atau ditinggalkan.

ii)      Ilmu Fardhu Kifayah: Kewajipan yang dituntut ke atas seluruh masyarakat Islam. Sekiranya ada seorang yang mengetahui ilmu tersebut maka gugur dosa ke atas umat Islam. Ilmu fardhu kifayah adalah sangat luas ruang lingkupnya. Contohnya: ilmu kedoktoran, pengurusan, teknologi dan sebagainya. Segala ilmu yang diperlukan oleh umat manusia, maka menuntutnya pun wajib ke atas mereka kerana ilmu-ilmu tersebut terlalu banyak dan terlalu luas bidangnya. Kewajipan tersebut diserahkan kepada seluruh umat Islam secara bergotong-royong atau pembahagian tugas di antara mereka.[11]

2.2.4.3 Berdasarkan Hubungkait Dengan Syariat dan Bukan Syariat

Dari segi hubungannya dengan syariat, ia terbahagi kepada empat iaitu; Ilmu Usul iaitu ilmu yang asas tentang al-Quran, sunnah, ijma' atau peninggalan sahabat. Ilmu Furu’ iaitu ilmu yang diluaskan daripada Ilmu usul contohnya; fiqh, faraid dan sebagainya.

 Ilmu muqaddimah atau pengantar iaitu ilmu yang berupa alat untuk memahami al-Quran dan sunnah. Contohnya; belajar mengenal huruf jawi atau tulisan arab. Akhir sekali ilmu penyempurnaan iaitu Ilmu yang bertujuan untuk menyempurnakan lagi ilmu al-Quran dan al-hadith. Contohnya; ilmu tajwid, tafsir dan sebagainya.

Ilmu bukan syariat pula terbahagi kepada dua iaitu ilmu yang terpuji sama seperti ilmu fardhu kifayah. Contohnya; matematik, sains, ekonomi, pertanian dan sebagainya. Seterusnya ilmu yang tercela iaitu ilmu yang boleh mendatangkan kemudharatan dan perpecahan malah mendapat kebencian Allah seperti ilmu sihir, silap mata, ilmu menipu dan sebagainya.[12]

2.2.5 Metode Mendapatkan Ilmu
Dalam tulisan- tulisan Ibn al-Haitham dapat disimpulkan bahawa metode mendapatkan ilmu ialah melalui dua proses, induktif dan deduktif. Metode induktif merangkumi:

a)      Pengamatan.
b)      Generalisasi, rumusan suatu prinsip umum dalam sesuatu bentuk hipotesis.
c)      Pencubaan.

Metode deduktif pula, mencakupi:
a)      Verifikasi berdasarkan percubaan dari konsekuensi-konsekuensi hipotesis.
b)      Penafsiran fakta-fakta lain berdasarkan hipotesis.[13]

Di dalam Islam juga, pencarian pengetahuan oleh seseorang bukanlah sesuatu yang tidak mungkin, tetapi harus, dan dianggap sebagai kewajipan bagi setiap Muslim yang bertanggungjawab. Di antara metode lain untuk mendapatkan ilmu adalah seperti berikut:[14]
1.                     Wahyu

Wahyu adalah pemberitahuan Allah kepada seorang hamba yang dipilih di kalangan hambaNya dengan secara sulit dan rahsia berlainan dari apa yang dialami oleh manusia biasa. Tidak dapat dinafikan lagi wahyu adalah merupakan sumber pengetahuan yang terpenting yang telah disampaikan oleh Allah kepada manusia sama ada ianya disampaikan melalui Nabi Muhammad s.a.w atau melalui nabi-nabi yang terdahulu. Wahyu merupakan teras kepada segala ilmu kerana di dalam al-Quran terkandung pelbagai jenis ilmu pengetahuan yang amat diperlukan oleh manusia untuk kemaslahatan hidup, juga perkara-perkara ghaib yang tidak dijangkau oleh akal manusia.

2.      Pancaindera
Semua pancaindera seperti sentuhan, hiduan, penglihatan, pendengaran dan deria rasa merupakan sumber pengetahuan yang utama dan amat berguna bagi manusia untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya dengan mudah dan betul. Kelima-lima pancaindera merupakan satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan melalui beberapa percubaan dan pengalaman yang berulang-ulang. Bagaimanapun kebenaran yang diperolehi tidak semestinya selalu betul dan tepat. Umpamanya matahari kelihatan kecil oleh mata sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya.

3.      Akal
Akal adalah merupakan sumber utama pengetahuan manusia. Malah perbezaan antara manusia dan haiwan adalah melalui hasil tamadun yang diusahakan oleh manusia berpunca dari pemikiran akal manusia yang kreatif. Dengan akal manusia dapat menimbang dan membezakan antara yang baik dan buruk walaupun mungkin ianya tidak bersifat kebenaran mutlak, namun memadai untuk mengatasi masalah kehidupan seharian. Bagaimanapun Allah menyuruh manusia menggunakan semaksima mungkin kedua-dua daya akal dan pancaindera yang dianugerahkan kepadanya agar dapat sampai kepada pengetahuan sahih dan kebenaran yang tidak menyesatkan.

            4. Intuisi atau Ilham.
Intuisi atau ilham juga boleh menjadi sumber pengetahuan manusia yang amat berguna. Ianya merupakan pengetahuan yang diperolehi tanpa melalui proses pemikiran yang tertentu. Contohnya seseorang yang mempunyai masalah yang sedang menumpukan pemikirannya terhadap penyelesaian masalah tersebut, tiba-tiba menjadi jalan penyelesaian tanpa perlu berfikir panjang seolah-olah kebenaran yang dicari datang sendiri. Di dalam Islam ilham ini boleh dikenali dengan istilah "firasat" atau pun pandangan bashirah (tembus) yang dikurniakan oleh Allah kepada para ulama.[15]




[1] Ibn Manzur, Imam al-A’lamat Abi al-Fadhil Jamalddin Muhammad b. Mukriz Ibn Manzur. 2000. Lisân al- ‘Arab. Jil. 12. Cet. Pertama.Bairut: Darul Sadir. Hlm. 417.
[2] Della Summer. 2008. Longman; Active Study Dictionary Fourthteenth Impression Edition. Edinburgh: Pearson Education Limited. Hlm. 663.
[3] Dari Wikipedia Bahasa Melayu, Ensiklopedia Bebas. http://ms.wikipedia.org/wiki/Ilmu. 12 Oktober 2009. 10.40mlm
[4] Jujun S. Suriasumantri. 1997. Ilmu Dalam Perspektif: Sebuah Kumpulan Karangan Tentang Hakekat Ilmu. Cet. Ketigabelas. Jakarta: Yayasan Obor Indonesia. Hlm.5.
[5] Reza A.A Wattimena. 2005. Filsafat & Sains; Sebuah Pengantar. Jakarta: Penerbit PT Grasindo. Hlm.110-111.
[6] Diriwayatkan Ibn Majah. Kitab Sunan Ibn Majah. Kitab Al-Muqadimmah. Bab Fadhl al- ‘Ulama’ wa Al-Hath ‘ala talab Al-‘Ilmi. Hadis No.219.
[7] Disahihkan oleh Syaikh Al-Albani. Kitab Shahih Al-Targhib wa Tarhib. Kitab Al-‘Ilmu. Bab Al-Targib fi al-‘ilm wa talabih. Hadis No. 78.                                                                                                        
[9] Qadir C.A. 2002. Filsafat & Ilmu Pengetahuan dalam Islam. Edisi Kedua. Indonesia: Pustaka Obor Indonesia IKAPI.Hlm.114-117.
[10] Ismail Raji al-Faruqi, Syed Muhammad Naquib al-Attas. 2006. Sungai Tak Bermuara; Risalah Konsep Ilmu dalam Islam: Sebuah Tinjauan Ihsani. Cet. Pertama. Jakarta: Penerbit Diwan. Hlm, 33.
[11] Imam al- Ghazali. 1980. Ihya Ulumiddin. Indonesia : Percetakan Menara Kudus. Hlm.84.
[12] Khazali Idris.Anjung Ilmu. http://khazalii.googlepages.com/udi30521konsepilmu. 11 Oktober.2009. 12:52 tghari.
[13] Qadir C.A. 2002. Filsafat & Ilmu Pengetahuan dalam Islam. Edisi Kedua. Indonesia: Pustaka Obor Indonesia IKAPI. Hlm . 112.
[14] Wan Mohd. Nor Wan Daud. Ibn Ishaq’s Site. “Konsep Pengetahuan Dalam Islam”, http://ishacovic.multiply.com/journal. Oktober 2009. 1:42 Petang.
[15] Ibid.

No comments:

Post a Comment